4 ahli parlimen GRS sudah hantar jawapan kepada Speaker
3 JAN: Empat ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menghantar jawapan kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung isu dakwaan kekosongan empat kerusi Parlimen oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengesahkan perkara itu menjelaskan, terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat untuk membuat keputusan mengenainya.
“Mereka (Bersatu) sudah menghantar petisyen dan pihak kita yang empat orang ahli Parlimen itu juga telah menghantar jawapan atau petisyen kepada Speaker.
Banyak spekulasi di luar ini, macam-macam tetapi kita di dalam, kita tahu rentetan, keadaan yang berlaku.
“Tetapi saya yakin Speaker akan buat keputusan yang terbaik kerana mereka sebenarnya sudah memenuhi (syarat) bahawa mereka tidak terlibat dalam Akta Anti Lompat Parti ini,” jelas Hajiji
Beliau ditemui media selepas melawat lokasi rumah penduduk yang terjejas akibat dipukul ombak besar di Kampung Tanjung Aru, hari ini.
Beliau diminta mengulas perkembangan mengenai tindakan Bersatu yang menghantar notis berkaitan kekosongan empat kerusi Parlimen baru-baru ini.
Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan parti baharu yang akan disertai bekas ahli Bersatu, Hajiji yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Media pada Ahad lalu melaporkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee memaklumkan bahawa Bersatu telah menghantar notis kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) kepada Speaker Dewan Rakyat.
Notis itu bagi memastikan bekas empat ahli Parlimen Sabah Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di bawah logo GRS mengosongkan kerusi masing-masing.