3 JAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merancang untuk membaik pulih beberapa premis penjara lama yang masih beropera di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini termasuk Penjara Kamunting, Perak; Penjara Alor Setar, Kedah; Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan; dan Penjara Reman Pulau Pinang.
“Sedaya mungkin kita tidak mahu ada pertambahan penjara baharu. Sebab kita nak kurangkan kadar jenayah, kita nak kurangkan sabitan…dengan sendirinya penghuni penjara kita dapat kurangkan.
“Tapi kita akan berusaha menyusun daripada sekarang ke arah membangunkan semula terutama penjara-penjara lama yang wujud sejak tahun 1870-an yang masih ada lagi dalam negara kita dan masih digunapakai. Bayangkan dia punya tahap.
“Paling kurang dua atau tiga (penjara) sudah dikenal pasti. Antaranya, di Kemunting, Alor Setar, Pengkalan Chepa dan Penjara Reman di Pulau Pinang…di pulau itu. Itu penjara lama, 100 tahun lebih,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan rasmi ke Jabatan Penjara Malaysia, di Kajang, hari ini.
Hadir sama timbalan beliau Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah serta Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad.
Menurutnya inisiatif ini bagi memberikan suasana kerja yang lebih kondusif selain menjadikan penjara itu lebih manusiawi untuk didiami.
“Kita mesti mulakan dengan ada tekad politik dulu untuk menambahbaik keadaan sedia ada. Jangan ada denial syndrom. Memang masih ada premis penjara yang usianya sudah ratusan tahun. Kita masukkan dalam perancangan untuk bangunkan semula, memang ada perbincangan dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) telah pun berjalan.
“Kita telah kenal pasti juga beberapa premis penjara yang temasuk dalam kategori itu. Bilangan dan lokasinya…proses perundingan itu sudah pun berjalan, bukan baru mula. Kalau ada keupayaan dana sudah tentu kita nak tukar sekelip mata saja. Tapi sudah tentu kita harus realistik dalam bab ini tentang ada kekangan dana tapi perancangan harus dimulakan sekarang. Kaedah pembiayaan juga sudah ada.
“Itu antara perkara yang kita kata kalau nak tingkatkan moral anggota dan kakitangan penjara, bantu mereka untuk mewujudkan keadaan penjara yang lebih manusiawi untuk didiami,” katanya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan Jabatan Penjara masih berdepan kekurangan anggota dan katanya pengisian jawatan itu perlu segera dipenuhi.
“Kita akan mudah cara dengan proses-proses berkaitan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bagi menyegerakan proses itu.
‘Sudah tentu ada implikasi kewangan tapi hal itu kita anggap munasabah,” katanya.
Oleh NUR EISYA