5 JAN : Rayuan bekas ahli parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada digantung keahliannya ditolak UMNO..
Ketua Penerangan, Isham Jalil berkata, keputusan itu berkuatkuasa hari ini selama enam tahun.
Selain itu, Isham turut memaklumkan, UMNO bahagian Arau juga digantung atas sebab disiplin dan akan dilantik ketua pentadbir yang baharu.
“Rayuan dari Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digantung, rayuan dia ditolak dan penggantungannya berkuatkuasa hari ini.
“Atas alasan disiplin seperti yang terkandung dalam perlembagaan UMNO.
“Bahagian Arau ini, kita akan lantik Ketua Pentadbir secepat mungkin, dan mereka akan hadir sebagai pemerhati,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.
Tajuddin sebelum ini dilaporkan keahliannya digantung selama dua penggal atau enam tahun, namun beliau telah mengemukakan rayuan.
Sementara di bahagian Arau pula, UMNO Perlis ssbelum ini mengesahkan Ketua Wanita UMNO bahagian itu, Datin Seri Shamsiah Yasin yang juga isteri kepada penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim digantung.
Sebelum itu, Shahidan turut disingkir daripada jawatan pengerusi perhubungan parti di Perlis dan digantikan dengan Datuk Seri Azlan Man.
Dalam perkembangan lain, Isham turut menjelaskan mesyuarat MT malam ni hanya menyentuh perjalanan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sahaja yang akan bermula 11 Januari ini.
“Kita bincang perjalanan PAU Secara asasnya, ada 2738 perwakilan, pertambahan 182 perwakilan kali ini,” jelasnya.
Isham berkata, mesyuarat tidak membincangkan mengenai jemputan kepada Pakatan Harapan (PH) sama ada pemimpin itu dijemput ataupun tidak.
Bagaimanapun, pada hari ini juga, Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO mungkin hanya akan menghantar jemputan kepada setiausaha agung setiap parti gabungan dalam kerajaan.
“Untuk PAU akan datang, kita belum berhasrat untuk jemput parti-parti di dalam kerajaan untuk hadir di dalam majlis ucapan dasar dan perasmian.
“Tetapi kita akan buat jemputan, mungkin pada peringkat awal pada setiausaha agung daripada parti-parti gabungan dalam kerajaan perpaduan,” katanya di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di Putrajaya siang tadi.