7 JAN :Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering dilabel sebagai pemimpin diktator dan sekular oleh lawannya menjawab dakwaan itu termasuk kononnya mengamalkan politik dendam.
Menurut beliau, dakwaan itu menunjukkan kedangkalan orang politik yang nyata.
“Kadang-kadang orang politik ini, kedangkalan itu nyata. Umpamanya ‘kalau Anwar jadi perdana menteri maka habis Islam dan sekular akan bertapak, LGBT disahkan, orang komunis bertapak’. Ini igauan siang hari dan tentunya tidak berlaku dan insya-Allah di bawah pentadbiran saya perkara ini tidak mungkin berlaku,” tegas Perdana Menteri ke-10 itu.
Menjawab isu undi percaya atau keabsahan jawatannya itu, Anwar menegaskan Perjanjian persefahaman (MoU) PH-BN yang memaksa ahli Parlimen undi usul percaya terhadapnya di Dewan Rakyat itu berlaku dalam keadaan majoriti kerajaannya ketika itu terlalu
.
“Keduanya soal undi percaya, mereka kata kenapa saya usulkan kalau saya yakin dengan jumlah. Ini dicabar oleh pihak pembangkang. Dia kata Anwar tidak ada dukungan. (Mereka minta) Buktikan. Dalam sistem demokrasi cara terbaik buktikan kekuatan adalah undi percaya dan undi tidak percaya.
“Alhamdulillah kita dapat dukungan yang kuat. Soal yang dikatakan diktator itu di mana? Apakah saya melanggar hukum MoU?. Itu belum. MoU itu diadakan dalam keadaan kerajaan itu majoritinya terlalu kecil,” katanya pada program Naratif Khas bersama Perdana Menteri, malam ini.
Dalam program disiarkan TV1 RTM, Ahli Parlimen Tambun itu menafikan memanifestasikan politik dendam sebaliknya beliau menegaskan tidak pernah campur tangan dengan sebarang siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Orang yang takut disiasat kerana rasuah, akan kata dendam. Saya tidak campur. Boleh tanya SPRM. Saya bagi arahan yang jelas, saya tidak mahu ada sikap menutup kes atau memilih dalam soal siasatan. Tetapi seperti mana kita lihat yang berlaku beberapa langkah untuk terus menyiasat jadi terus ada tuduhan seolah-olah ini dendam.
“Kalau kita tidak buat apa-apa dia kata ini bukan tadbir urus yang baik, kenapa menutup kes rasuah yang besar. Apabila kita ambil tindakan, dikata politik menekan sesetengah pihak,” katanya.
Tambahnya, sesiapa saja sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang boleh dikenakan tindakan jika ada bukti kesalahan yang jelas.
“Soalnya begini, pihak kanan, kiri…pihak kerajaan atau pembangkang, kalau ada bukti yang jelas, kalau ada keterangan dan fakta akan ambil tindakan.
“Jangan peduli tentang tohmahan. Kerana orang politik itu akan berselindung disebalik kata-kata puak-puak mereka sama ada dia guna agama Islam atau Melayu,” katanya.
Malah menurut Anwar, mana-mana pihak tidak perlu bimbang jika tidak terlibat dengan sebarang kegiatan rasuah.
“Saya tahu golongan yang merancang, yang mengecam, cuba menidakkan Langkah London dan sebagainya kerana mereka bimbang. Seolah kita akan menekan mereka. Kalau dia tidak rasuah, tidak zalim, tak memeras rakyat (maka) dia tidak harus bimbang.
“Tidak peduli dia di kedudukan mana kerana saya tidak mahu zalim. Saya tahu apa erti kezaliman. Saya pernah melalui proses itu. Saya tidak mahu zalim dan saya tidak akan dianggap berjaya jika saya guna menekan musuh tanpa fakta dan data serta bukti yang nyata,” katanya.
Oleh NUR EISYA