8 JAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mendakwa kerajaan yang dipimpinnya kini masih dalam keadaan kukuh dan beliau akan terus mentadbir Sabah.
Ini ekoran 44 sokongan yang diterima Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
“Kita mempunyai sokongan majoriti daripada 44 wakil rakyat, ADUN kita di Dewan Undangan Negeri. Ini bermakna bahawa kerajaan yang ada ini, yang saya pimpin ini masih lagi utuh dan kuat dan akan terus mentadbir negeri Sabah.
“(Sokongan dari) semua daripada wakil-wakil rakyat, yang saya boleh nyatakan di sini termasuk wakil rakyat PH dan juga daripada UMNO-BN dan GRS,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan beliau dengan ADUN GRS, PH Sabah dan BN Sabah di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya pada Ahad.
Ditanya mengenai surat Akuan Bersumpah (SD), menyatakan bahawa ia sudah dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin di Istana Seri Kinabalu pada Sabtu.
“Kita sudah bagi kelmarin (SD), itu (pertemuan di istana),” katanya.