9 JAN: Pelabur bertambah yakin untuk melabur di Malaysia berikutan langkah Kerajaan Perpaduan membersihkan nama negara yang tercalar kerana rasuah dan salah guna kuasa sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelabur memberikan reaksi positif walaupun beliau kerap bercakap mengenai kepincangan tatakelola pentadbiran negara yang terdahulu dan dilaporkan oleh media.
“Keterbukaan Malaysia dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa serta langkah tegas menentangnya, menarik minat sektor perniagaan di Indonesia.
“Mereka yakin kita memudahkan mereka untuk menjalankan perniagaan di Malaysia,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan beliau ke Indonesia, petang tadi.
Anwar berkata, dalam sesi pertemuan dengan mereka, kerajaan menyatakan secara jelas dengan janji memudahkan urusan, termasuk kelulusan segera di semua bahagian.
“Mereka juga diberikan jaminan yang jelas oleh menteri-menteri kita, keadaan akan berubah.
“Isu ketelusan dan tiada lagi komisen dibangkitkan. Mereka yakin perubahan berlaku dalam landskap politik baharu negara,” katanya.
Anwar juga berkata, komitmen memastikan ketelusan mencetuskan minat mereka menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
“Malaysia boleh menarik minat mereka dalam bidang ekonomi baharu,” katanya.
Anwar berkata, Pengasas dan Pengerusi CT Corp, Chairil Tanjung juga menyatakan minat untuk menerokai peluang pelaburan di Malaysia.
Perdana Menteri dalam beberapa program yang dihadirinya memaklumkan hadirin, beliau tidak akan bertolak ansur dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa serta sanggup kehilangan kuasa. – BH