10 JAN: Pembangunan infrastruktur di kawasan desa di Sabah dan Sarawak harus dipertingkatkan supaya menyamai tahap infrastruktur di kawasan desa di Semenanjung.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan projek Lebuhraya Pan Borneo bakal menjadi penghubung utama penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, pada keseluruhan infrastruktur desa di Semenanjung berada pada tahap memuaskan
Bagaimanapun katanya, infrastruktur desa di kedua-dua negeri berkenaan mesti dipertingkatkan.
“Sekurang-kurangnya menyamai infrastruktur desa di Semenanjung,” katanya ketika berucap pada Majlis Sembang Santai Bersama Media di Menara Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha KKDW Datuk Seri Ramlan Harun.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, KKDW turut memberi tumpuan kepada isu jurang pendapatan serta kadar kemiskinan antara penduduk luar bandar, pinggir bandar dan dalam bandar.
Beliau berkata, ia perlu diberi keutamaan selepas beberapa kali angka garis kemiskinan yang dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berubah berdasarkan situasi ekonomi semasa.
“Secara relatifnya, ia (kemiskinan) tidak boleh dilihat di desa sahaja tetapi harus dilihat di pinggir bandar dan dalam bandar. Fakir di bandar telah menyamai di desa,” katanya.
Mengenai Majlis Sembang Santai Bersama Media, Ahmad Zahid berkata, KKDW akan melakukan langkah proaktif untuk menjalinkan hubungan antara kementerian dan media dalam usaha menyebarluaskan liputan aktiviti kementerian.
“…Kementerian ini tidak terlalu banyak menghidangkan isu kontroversi. Oleh kerana ia berjalan sebagai sebuah kementerian…maka liputan yang terpapar berada di sekitar kenyataan media dan juga sidang media sahaja.
“…Oleh demikian, saya mahu menukar pendekatan baharu dengan melakukan pendekatan game changer antara media dan KKDW,” katanya