10 JAN: Puluhan keluarga di bandar Joshimath di negeri Uttarakhand New Delhi terpaksa dipindahkan setelah retakan besar muncul di rumah mereka dan jalan raya sekitar.
Pegawai daerah turut mengisytiharkan kawasan itu sebagai ‘terdedah bencana’ selepas lebih 600 rumah dilaporkan retak kerana penurunan tanah atau tanah yang secara beransur-ansur tenggelam.
Majistret daerah Chamoli, Himanshu Khurana berkata, kerajaan persekutuan telah mengerahkan dua pasukan ke Joshimath untuk menilai keadaan sebenar.
Menurutnya, seramai 68 keluarga telah berpindah ke pusat penempatan sementara yang disediakan di hotel dan rumah tetamu di kawasan lebih selamat.
“Proses pemindahan lebih ramai penduduk akan dilakukan dalam waktu terdekat,” ujar jurucakap pegawai daerah.
Sementara itu, penduduk Joshimath yang terletak di kawasan ekologi yang rapuh di Himalaya mendakwa mereka telah menyuarakan kebimbangan sejak beberapa bulan lalu.
“Isu itu hanya meraih perhatian media selepas retakan semakin besar,” kata seorang penduduk yang enggan identitinya didedahkan.
Pada minggu lalu, pihak berkuasa tempatan telah menghentikan beberapa projek pembinaan yang dipersalahkan sebagai punca krisis tersebut selepas ribuan penunjuk perasaan menyekat lebuh raya.