11JAN: Kerajaan Arab Saudi mengurangkan insurans premium jemaah haji daripada 109 Riyal (RM127) kepada 29 Riyal (RM34), iaitu penurunan sebanyak 73%.
Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, Menteri Haji dan Umrah Tawfiq Fawzan Al-Rabiah turut mengumumkan pengurangan premium insurans komprehensif untuk menunaikan umrah daripada 235 Riyal (RM274) kepada 88 Riyal (RM103).
Berucap pada majlis perasmian persidangan dan pameran ‘Ekspo Haji 2023’ pada Selasa, menteri itu berkata tempoh visa umrah juga akan dilanjutkan daripada 30 hari kepada 90 hari.
“Seperti pemegang visa Umrah yang kini boleh melancong di seluruh pelusuk negeri, pemegang visa lain juga dibenarkan menunaikan umrah,” menurut kenyataan itu.
Al-Rabiah juga menjelaskan bahawa mulai tahun ini, semua pengelola jemaah haji boleh membuat kontrak dengan mana-mana syarikat berlesen di Arab Saudi dan tidak hanya membabitkan beberapa syarikat terpilih seperti sebelum ini.