11 JAN: Adun BN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmy Yahya hari ini dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah dalm rombakan kabinet negeri yang dibuat Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau menggantikan Adun Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Raden yang juga disingkirkan sebagai menteri kerja raya.
Shahelmy dilantik sebagai timbalan ketua menteri III dan diberi portfolio kerja raya.
Selain Bung Moktar, Hajiji turut menggugurkan dua lagi anggota kabinetnya – Datuk Yakub Khan (BN-Karambunai) dan Jafry Ariffin (BN-Sukau).
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Seri Jeffrey Kitingan selaku Adun Tambunan kini adalah timbalan ketua menteri I dan memegang porfolio pertanian dan perikanan.
Jawatan timbalan ketua menteri II pula disandang oleh Adun Kundasang, Dr Joachim Gunsalam dari Parti Bersatu Sabah (PBS). Beliau juga dilantik sebagai menteri kerajaan tempatan dan perumahan.
Turut dilantik menganggotai barisan kabinet Sabah dan mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin ialah dua wajil rakyat Pakatan Harapan.
Mereka ialah Christina Liew (PKR-Api-Api), Phoong Jin Zhe (DAP- Luyang).
Liew dilantik sebagai menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar manakala Phoong sebagai menteri pembangunan perindustrian.
Hajiji turut melepaskan portfolio kewangan yang dipegangnya dan diberikan kepada Masidi Manjun daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sebelum ini adalah menteri kerajaan tempatan dan perumahan.