14 JAN: Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2022 meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang perlu diadakan selewat-lewatnya sebelum 19 Mei ini.
Usul tambahan dibawa oleh UMNO Bahagian Rembau Mohd Shukri Shamsudin srmalan diluluskan setelah undian dibuat apabila perwakilan yang tidak menyokong usul diminta untuk bangun dan jumlah itu melebihi perwakilan yang tidak menyokong atau memperolehi majoriti..
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau bersedia berhadapan tentangan untuk mempertahankan kedudukannya manakala Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan juga menyatakan maksud sama.
Usul itu mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan apabila beberapa perwakilan termasuk dari Badan Perhubungan UMNO Negeri seperti Wilayah Persekutuan dan Johor menolak usul tersebut dan mahu kedua-dua jawatan berkenaan dipertandingkan.
Bagaimanapun, usul itu diluluskan juga dalam undian sebelum sesi penggulung perbahasan dimulakan hari ini.
Kelulusan pengundian usul itu yang dilakukan secara tertutup di Dewan Merdeka diumumkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin selaras Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, melalui satu muat naik di Facebook turut mengesahkan mengenai kelulusan undi tambahan itu.
Beliau berkata, majoriti perwakilan UMNO bangun dan mengangkat tangan menyokong usul ucapan dasar Presiden UMNO dengan satu usul tambahan iaitu jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Menerusi Facebooknya, beliau berkata, pengundian itu berlangsung pada jam 4.52 petang.