16 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anggota perkhidmatan awam untuk tidak mengamalkan budaya selesa dalam sebarang urusan dan pentadbiran negara.
Sebaliknya tegas Perdana Menteri, mereka perlu mempunyai keinginan dan untuk membawa perubahan kepada sistem pentadbiran dan urusan, tanpa mengetepikan kekuatannya.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa perkara itu hanya berhasil kalau ada kerjasama penuh daripada Menteri.
“Jangan amal budaya selesa, tekad laksana perubahan untuk negara,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Putra, Putrajaya, hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar berkata, adalah tidak benar untuk anggota pentadbirannya menyatakan perlu ada budaya selesa yang memberi kesan negatif kepada mereka.
Dalam pada itu, Perdana Menteri meminta pegawai dan kakitangan awam menegur sebarang keputusan dibuat Menteri termasuk Perdana Menteri
Katanya, pegawai yang melaksanakan arahan yang mengandungi apa disifatkan sebagai keterlanjuran tidak boleh dipersalahkan berikutan ia diminitkan oleh menteri menyebabkan mereka mematuhinya.
“Saya tekankan penguatkuasaan. Apa yang saya pelajari terutama di Kementerian Kewangan apabila melihat banyak fail, banyak keterlanjuran.
“Nak salahkan pegawai kalau minit daripada menteri apatah lagi Perdana Menteri dia patuh.
“Tetapi saya sudah beri arahan jelas kalau ada minit daripada Perdana Menteri sendiri pun kalau dianggap melanggar peraturan dan undang-undang, sekurang-kurangnya saya dimaklumkan terlebih dahulu.
“Apa lagi kalau dalam kalangan pegawai di pejabat saya, pejabat Timbalan Perdana Menteri (dan) pejabat Menteri,” katanya.
Selain itu katanya,semua pemimpin perlu menerima kekuatan, mengakui kelemahan serta bertekad untuk memastikan politik negara stabil serta negara mempunyai hala tuju yang jelas.