17 JAN: Datuk Bandar New York, Eric Adams, berkata ‘tiada ruang di New York’ bagi ramai pendatang asing yang dihantar ke bandar berpenduduk paling ramai di Amerika Syarikat (AS) itu.
“Bandar AS yang dibanjiri pendatang memerlukan pertolongan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA).
“Bandar kita dibebani, kita tidak sepatutnya menghadapi krisis ini, pendatang tidak patut berdepan kemelut ini dan penduduk bandar ini tidak wajar diperlakukan seperti ini.
“Kami berharap pemimpin peringkat atasan menangani isu ini supaya ia benar-benar dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas berkunjung ke El Paso, sebuah bandar AS di sempadan dengan Mexico kelmarin.
Sejak musim bunga lalu, New York menerima sekitar 40,000 pencari suaka dan minggu lalu menurut Adams, rekod hampir 840 pencari suaka tiba dalam sehari.
Adams, daripada parti Demokrat, turut mengkritik pentadbiran Demokrat di bawah Presiden AS, Joe Biden, dan menegaskan ‘sekarang tiba masanya bagi pemerintah nasional menjalankan tugasnya’ mengenai krisis pendatang di sempadan selatan AS.
Puluhan bas membawa pendatang dihantar ke New York dan beberapa bandar lain oleh negeri AS yang dikuasai parti Republikan.
Tindakan itu memburukkan krisis perumahan di New York dan masalah gelandangan yang semakin buruk di bandar itu.