17 JAN: Kematian akibat nahas jalan raya disifatkan lebih besar berbanding kes COVID-19, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook
Katanya, keadaan ini semakin membimbangkan kerana literasi komuniti jalan raya di negara ini masih berada pada tahap tidak memuaskan.
“Kalau masa COVID-19, setiap hari ada membuat laporan, berapa orang kena COVID-19 dan berapa kematian dan sebagainya.
“Sebenarnya kadar kematian di atas jalan raya lebih banyak daripada orang meninggal disebabkan COVID-19. Tetapi kesedaran dan kebimbangan orang ramai terhadap kemalangan jalan raya ini tidak sebesar kebimbangan mereka terhadap COVID-19. Persepsi itu mesti kita ubah,” katanya di Dengkil, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan di kawasan Rehat & Rawat Dengkil (Arah Utara).
Hadir sama Menteri Kerja Raja, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 1.3 juta individu maut setiap tahun akibat kemalangan jalan raya, manakala antara 20 dan 50 juta lagi mengalami kecederaan termasuk hilang upaya.
Laporan berkenaan menyatakan, lebih daripada 90 peratus kematian lalu lintas jalan raya berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Dalam pada itu kata Loke berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Januari hingga Disember 2021, sebanyak 370,286 nahas jalan raya telah direkodkan dengan 4,539 kematian.
Manakala, dari Januari hingga September tahun lalu, sebanyak 402,626 nahas jalan raya direkodkan dengan 4,379 kematian. Katanya, angka yang cukup besar ini menyakitkan hati kerana begitu ramai yang terbunuh di atas jalan raya.