17 JAN: Ringgit dijangka mengakhiri tahun 2023 dalam julat RM4.20 hingga RM4.30 berdasarkan pandangan bahawa dolar Amerika Syarikat (AS) sudah mencapai paras tertingginya.
Ambank Research dalam laporan Prospek Ekonomi 2023 berkata asas ringgit masih kukuh berdasarkan pemulihan dalam sektor pelancongan, yang menyokong kekuatannya.
Memandangkan sektor pelancongan mencatatkan peningkatan, Malaysia dijangka menyaksikan defisit yang lebih kecil dalam akaun perkhidmatan, yang boleh memberi prospek yang baik kepada ringgit.
“Terdapat lebih banyak ruang peningkatan berikutan jumlah pelancong yang tiba di Malaysia sebanyak 1.24 juta pada September 2022, manakala purata jumlah pelancong dalam tempoh 10 tahun lalu ke Malaysia seramai 2.15 juta orang,” menurut Ambank Research.
Katanya, aspek asas ringgit turut disokong oleh pertumbuhan ekonomi negara, dengan pertumbuhan ekonomi domestik pada 2023 dijangka pada sekitar 4.5 peratus, bermakna firma tidak melihat kemelesetan di Malaysia berbanding kemelesetan yang dijangka di negara-negara utama lain.
Selain itu, inflasi di negara ini berada pada tahap terurus berbanding negara-negara utama manakala langkah awal yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) memastikan inflasi dikawal dengan baik tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi.