18 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Kabinet agar serius meneliti Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2021 agar ia tidak berulang pada masa akan datang.
Katanya, penelitian itu termasuklah perbelanjaan, ketirisan dan perolehan yang tidak menepati syarat serta peraturan.
Laporan Ketua Audit Negara memberikan syor-syor tetapi kesilapan atau ketelanjuran sama diteruskan untuk tahun demi tahun,” tegas Anwar dalam sidang media di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, laporan audit tersebut telah diterima oleh kabinet, namun belum dapat didedahkan.
“Saya percaya Jabatan Audit Negara akan umumkan dalam waktu sesuai dan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang,” katanya.
Anwar berkata, laporan tersebut penting bagi mengenal pasti masalah yang berlaku di dalam kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
“Kita beri peluang kepada badan-badan (agensi) untuk menjawab kerana kadangkala ia mempunyai jawapan munasabah,” katanya sambil mengingatkan penjawat awam supaya menjaga integriti dan kecekapan kerja yang utuh.