18 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pengecualian tol pada Jumaat dan Sabtu ini sempena Tahun Baharu Cina.
Pengecualian tol itu membabitkan semua jenis kenderaan di seluruh negara.
Katanya menteri kerja raya dan menteri pengangkutan me ngambil inisiatif berbincang dengan dua syarikat konsesi dan setuju supaya ditiadakan tol bagi 20 dan 21 Januari ini.
Beliau memaklumkan perkara itu dalam sidang media di Putrajaya.
Anwar turut menasihatkan pengguna jalan raya berhati-hati dan mematuhi undang-undang supaya kemalangan dapat dielakkan.
Semalam, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata seramai 2,000 pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan ditempatkan untuk operasi dan kempen keselamatan jalan raya sempena Tahun Baharu Cina yang jatuh pada Ahad.
Beliau berkata, tujuh kesalahan trafik tidak boleh dikompaun sepanjang musim perayaan, dan mereka yang ditangkap melakukan kesalahan itu akan dibawa ke mahkamah, bukannya didenda.
Tujuh kesalahan itu ialah memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.