19 JAN : Kesemua ahli Parlimen perlu sedar 1mereka dipilih rakyat untuk menyelesaikan isu di kawasan masing-masing.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata sewajarnya ahli Parlimen membuat rakyat di kawasan merasa bangga melihat wakil mereka berbahas dengan berhemah di Dewan Rakyat.
“Saya ingin melihat persidangan kali ini lebih intelektual. Ahli Parlimen hendaklah buat ‘home work’ sebelum bercakap, kena membaca dan berhemah. Harus diingat, nama pun wakil kepada rakyat.
“Katalah dia bercakap bagi kawasan A tapi bercakap macam orang tak sekolah…ini melambangkan kawasan itu menghantar orang yang salah. Jadi dia dipilih oleh rakyat, biarlah orang kawasan itu rasa gembira dan berbangga apabila wakil rakyatnya bercakap,” katanya kepada BBC Portal.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini agar semua wakil rakyat yang bakal bersidang tidak lama lagi mempamerkan tingkah laku lebih manusiawi, tenang serta siuman sejajar dengan konsep membangun Malaysia Madani yang diperkenalkannya.
Dalam pada itu, Johari juga mengingatkan agar ahli Parlimen tidak membawa isu politik mahupun peribadi ke dalam persidangan Dewan Rakyat apatah lagi menggunakan kata-kata yang kurang sopan.
“PM minta supaya ahli Parlimen menggunakan peluang dan ruang sepenuhnya untuk membincangkan masalah rakyat. Ada pun hal-hal peribadi dan politik itu janganlah dibawa ke dewan sebab apabila wakil rakyat masuk ke dewan semua perbelanjaan ditanggung oleh rakyat.
“Segala tuntutan elaun dibayar oleh rakyat, tiba-tiba apabila kita berada dalam dewan kita tidak bercakap tenang isu rakyat sebaliknya kita bercakap soal peribadi dan juga hal parti politik,maka itu namanya pembaziran. Itu yang dimaksudkan oleh PM.
“Saya amat setuju dengan seruan itu dan kita mesti ingat, kita datang ini dengan duit rakyat jadi kita berkhidmat untuk rakyatlah. Kemudian kalau ada yang menggunakan ‘unparliamentary word’ kita tidak akan benarkan,” katanya.
Menurutnya lagi, beliau tiada masalah jika wakil rakyat berbahas dengan lantang demi memperjuangkan nasib rakyat di kawasannya namun beliau tidak akan berkompromi jika hal yang tiada kaitan dijadikan bahan perdebatan.
“Saya tidak gemar membenarkan isu peribadi dan parti ini dibincangkan dalam dewan. Saya minta kalau nak bincang pasal parti atau peribadi (bincang) di luarlah.
“Lantang tiada masalah tapi lihat kepada isu yang dibawa. Kalau lantang cakap pasal isu kemiskinan rakyat, rasuah dalam kalangan ahli politik (atau) kelembapan tindakan agensi kerajaan, itu ok. Tidak apa lantang.
“Tapi jangan lantang tidak bertempat. (Bawa) Isu politik atau isu yang tiada kaitan dengan rakyat itu bukan satu tindakan yang elok. Tindakan akan diambil,” katanya.
Tambahnya lagi, sebagai speaker beliau lebih memilih bersikap demokratik berbanding autoritarian kerana mahu memberi ruang seluas-luasnya untuk setiap ahli Parlimen berbahas namun berpandu kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan. Oleh NUR EISYA