19 JAN: FELCRA diseru menyokong usaha kerajaan dalam memastikan jaminan bekalan makanan negara supaya tidak lagi bergantung kepada sumber import.
Gesaan itu dibuat Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memandangkan agensi itu mempunyai tanah 200,000 ekar.
Menurut beliau, FELCRA turut mempunyai cara dan sumber untuk mempergiatkan perniagaannya ke arah menghasilkan lebih banyak produk pertanian dan makanan untuk negara.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu media demikian selepas lawatan dan taklimat ke Wisma FELCRA, di Setapak, hari ini.
Turut serta Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang.
Taklimat disampai Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Datuk Mat Roni Zakaria.
Menurut Ahmad Zahid, keterjaminan makanan telah dikenal pasti sebagai bidang yang perlu diberi tumpuan oleh FELCRA untuk masa hadapan.
Katanya, selain bidang sedia ada, FELCRA perlu menumpukan pengeluaran produk pertanian dan ternakan serta pengeluaran makanan ternakan untuk pasaran tempatan.
“Ini supaya kita tidak bergantung terhadap produk import dan tukaran mata wang,” katanya.
Menjawab soalan, beliaumenyasarkan FELCRA dapat melaksanakan usaha baharu itu dalam tempoh empat tahun.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu beliau telah mengarahkan KKDW mengambil tindakan segera terhadap cadangan yang dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021.
Tegasnya, walaupun tidak banyak kes ketirisan di bawah kementerian itu, pihaknya akan bertindak mengikut semua cadangan yang dibuat dalam laporan itu dengan memberi tumpuan kepada isu ketirisan dan penyalahgunaan kuasa. Foto BOB MEDIANEWS