19 JAN: Lembaga Penapisan Filem (LPF) memaklumkan filem “Pulau” yang mencetuskan isu kerana adegan tidak sepatutnya adalah sebuah filem seram bukannya porno seperti dihebahkan.
Dalam kenyataan, agensi bawah Kementerian Dalam Negeri itu menjelaskan terdapat perbezaan antara kandungan treler dikongsikan di media sosial dengan kandungan dikemukakan untuk penapisan.
“LPF mengambil maklum isu berbangkit bagi filem bertajuk ‘Pulau’ yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat umum setelah promosi filem ini dimulakan melalui perkongsian poster dan sedutan treler menerusi media sosial.
“Treler filem ‘Pulau’ ditayangkan secara dalam talian (melalui platform internet), maka didapati bahawa kandungan yang ditayang tersebut adalah di luar bidang kuasa LPF,” katanya.
LPF berkata, dalam mengeluarkan sesuatu keputusan ke atas penapisan kandungan filem dan bahan publisiti filem, pihaknya akan meneliti dan memberikan perhatian khusus berpandukan Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) KDN 2010 yang merangkumi keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya, serta ketertiban dan ketatasusilaan.
Sedutan filem “Pulau” ditayangkan di YouTube baru-baru ini mengundang kritikan warganet yang kesal dengan adegan panas dipaparkan termasuk babak wanita memakai pakaian kurang sopan.
Ekoran itu, beberapa pihak termasuk daripada PAS lmenggesa LPF mengkaji semula kelulusan tayangan filem itu pada 9 Mac ini.
Filem “Pulau” arahan Euho itu dibarisi Alif Satar, Amelia Henderson, Namron, Ikmal Amry dan lain-lain lagi.