20 JAN: Datuk Seri Maximus Ongkili kekal terajui Parti Bersatu Sabah (PBS) selepas majlis tertinggi parti itu sebulat suara menyokong beliau sebagai presiden.
Majlis tertinggi parti itu yang bermesyuarat membuat keputusan itu selepas Ongkili mendapat undian suara tertinggi.
“Walaupun saya telah mengumumkan untuk berundur pada pemilihan PBS akan datang, ahli majlis tertinggi mengundi saya.
“Ini akan memberi PBS masa yang cukup untuk mengenal pasti pengganti saya,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti itu yang pertama tahun ini.
Beliau berkata, untuk mencari penggantinya, parti itu memerlukan masa untuk mengenal pastinya dan berpegang pada rancangan asal untuk melepaskan jawatan presiden dalam tempoh tiga tahun.
Dalam pada itu, Ongkili berkata, terdapat ramai pemimpin muda dalam parti yang mampu membina dan membawa parti ke tahap yang lebih tinggi apabila tiba masanya.
Pada 28 Jun lalu, Ongkili mengumumkan akan melepaskan jawatannya sebagai presiden dalam tempoh tiga tahun lagi.