24 JAN: Tindakan Kerajaan Sweden membenarkan seorang ahli politik pelampau kanan, Rasmus Paludan membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm baru-baru ini telah mengguris serta membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Kesal dengan kejadian itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Sweden sepatutnya sedar mereka tidak hidup bersendirian di dunia ini malah mempunyai negara sahabat berpenduduk Islam.
Katanya, kebebasan bersuara dan hak asasi manusia bukanlah alasan untuk menghalalkan perbuatan ini kerana ia jelas bertentangan dengan nilai mana-mana agama sekalipun.
“Kerajaan Sweden harus memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan bukan hanya menzahirkan rasa simpati melalui media sosial,” kata Ismail Sabri di laman Facebook beliau.
Tambahnya, kebebasan bersuara seharusnya dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab melalui dialog dan toleransi.