28 JAN: Suruhanjaya Tenaga memaklumkan, laporan penuh siasatan yang meragut nyawa dua beradik di Bangi pada September lalu sudah dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Suruhanjaya Tenaga telah selesai menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan kemalangan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.
“Jika disabitkan kesalahan, denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan ke atas pihak yang bersalah.
“Laporan Siasatan telah dimajukan Suruhanjaya Tenaga kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan undang-undang selanjutnya,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataannya.
Dalam kejadian 30 September tahun lalu, Adam Harish Zamri,10 dan adiknya Adam Haziq berusia sembilan tahun yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam kolah di luar kediaman mereka.
Susulan kejadian itu, TNB melalui kenyataan mengesahkan tiada talian terputus dari tiang miliknya yang menimpa bumbung rumah mangsa sehingga meragut nyawa dua kanak-kanak itu.
Mengulas kejadian di kampung Teras Jernang itu, Suruhanjaya Tenaga memaklumkan mangsa pertama maut akibat terkena renjatan semasa memegang tiang besi ampaian kain yang bersambung dengan bumbung zink rumah yang bertenaga, manakala mangsa kedua yang juga terkena renjatan ketika cuba menyelamatkan abangnya.