Hajiji dipilih Presiden Gagasan Rakyat
5 FEB: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor dipilih sebagai presiden Gagasan Rakyat.
Beliau dinamakan presiden Gagasan Rakyat pada mesyuarat agung luar biasa parti itu hari ini, menggantikan Stephen Jimbangan yang meletak jawatan pada Disember.
Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, partinya kini akan menjadi sebahagian daripada GRS, gabungan yang membentuk kerajaan negeri.
Beliau berkata GRS sudah lama mengidamkan parti yang benar-benar tempatan untuk menjadi sebahagian daripada gabungan itu.
“Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), wadah politik yang 100% tempatan untuk meneruskan perjuangan kepada rakyat dan negeri Sabah,” katanya di Facebook.
Hajiji berkata, beliau dan rakan-rakannya telah menyertai Gagasan Rakyat kerana ia adalah parti berbilang kaum yang melambangkan keterangkuman dan ia juga mewakili suara rakyat Sabah.
Beliau berkata agenda Gagasan Rakyat juga selaras dengan empat tonggak perjuangan GRS untuk mendahulukan Sabah.
Katanya, menjadi parti tempatan tidak bermakna Sabah menolak agenda nasional atau membelakangkan kepentingan negara.
Hajiji berkata, beliau akan menjelaskan dengan lebih terperinci hala tuju Gagasan Rakyat pada 2 Mac ini.
Beliau berkata parti itu akan mewujudkan cawangannya di semua 73 DUN termasuk pembentukan sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis.
Katanya, mesyuarat agung cawangan dan bahagian dijadualkan pada Julai dan September, dan parti itu akan mengadakan kongres tahunannya pada November.
Hajiji juga mengumumkan barisan kepimpinan parti, dengan pelantikan selanjutnya akan dibuat tidak lama lagi.
Presiden: Hajiji Noor;
Timbalan presiden: Masidi Manjin;
Naib presiden: Arifin Arif; Rubin Balang; Masiung Banah;
Ketua wanita: Redonah Bahanda;
Ketua Pemuda: Fairuz Renddan;
Ketua Beliawanis: Emmie M.Idang;
Setiausaha Agung: Razali Razi;
Timbalan Setiausaha Agung: Stephen Jacob Jimbangan;
Bendahari Agung: Ghulam Haidar Khan;
Timbalan Bendahari agung: Tahir Picho;
Ketua Penerangan: Nizam Abu Bakar Titingan;