7 FEB: Kemasukan dan keberadaan warga asing di negara ini, adalah tertakluk kepada dasar, peraturan dan perundangan yang dikuatkuasakan Malaysia, termasuk keperluan memiliki dokumen perjalanan yang sah serta mematuhi tempoh dan syarat pas yang dikeluarkan.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata pihaknya sentiasa komited memastikan aspek itu dilaksanakan dengan teratur bagi memastikan elemen keselamatan dan kedaulatan negara tidak terancam dan dikompromi.
Beliau menegaskan, operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan terhadap sebuah kawasan dikenal pasti sebagai penempatan haram warga asing di Nilai Spring, Negeri Sembilan pada 1 Februari lalu jam 1.30 pagi.
Katanya, operasi penguatkuasaan ini dilaksanakan selepas mendapat aduan orang awam yang bimbang akan keselamatan penduduk setempat serta hasil risikan yang dilaksanakan jabatan itu selama sebulan.
“Dalam operasi itu, seramai 68 individu warga Indonesia diperiksa dan 67 orang yang berusia di antara dua bulan hingga 72 tahun, terdiri daripada 11 lelaki, 20 wanita 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan Khairul Dzaimee itu merujuk kepada penyiaran sebuah portal bertarikh 4 Februari lalu menyatakan Suruhanjaya Indonesia (Komisi Nasional Hak Asasi Manusia/Komnas HAM) mengecam serbuan terhadap pekerja asing yang dilakukan imigresen di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti dalam serbuan itu ialah ketiadaan dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan- Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, ketika operasi diadakan jabatan itu turut menjumpai beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang serta ada cubaan beberapa pendatang tanpa izin (PATI) untuk meloloskan diri daripada ditahan, malah ada yang cuba bertindak agresif bagi mengelak daripada ditangkap, namun dapat dipatahkan oleh pasukan operasi.
“Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Khairul Dzaimee menegaskan, operasi yang dilaksanakan jabatan itu dibuat secara teratur dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati mereka yang ditahan tidak berniat untuk pulang ke negara asal, sebaliknya ingin terus berada di sini dalam tempoh yang panjang walaupun tanpa dokumen yang sah. -BH