8 FEB: Semua parti dalam kerajaan perpaduan telah memberikan komitmen untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu pada sidang media selepas
mesyuarat pertama Majlis Sekretariat Kerajaan Perpaduan di ibu pejabat UMNI di Kuala Lumpur malam tadi.
Beliau turut mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa bagi memperkukuh agenda kerajaan perpaduan termasuk komitmen daripada Sabah dan Sarawak.
Tiga jawatankuasa itu merupakan Jawatankuasa Perundingan Kerusi, Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik, dan Jawatankuasa Komunikasi Strategik.
Jelasnya, Jawatankuasa Perundingan Kerusi akan menumpukan perancangan PRN yang bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja.
“…ia merencanakan hal PRN terutamanya dalam pembahagian kerusi dan menumpukan kegiatan mereka untuk memastikan kita punya tapak kukuh dalam PRN,” jelas perdana menteri.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Jawatankuasa Komunikasi Strategik pula ditubuhkan bagi memberi penjelasan mengenai salah faham dan fitnah melampau terhadap kerajaan.
“Contohnya isu pembakaran al-Quran… beberapa orang kononnya tokoh-tokoh agama menggunakan kenyataan dalam ucapan mereka dalam kenyataan mereka seolah-olah kita belum berbuat apa-apa (mengenai itu).
“Padahal, masa itu kita telah mengeluarkan kenyataan keras mengecam, (di mana) Kementerian Luar panggil Kedutaan Sweden dan berikutnya saya umumkan pengedaran satu juta Quran,” katanya.
Manakala Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik bertujuan mengambil kira pandangan dan manifesto yang dikemukakan dan juga keutamaan yang melibatkan kos sara hidup dan kerjasama diantara semua kaum dan negeri.
Jawatankuasa berkenaan akan dikendalikan oleh Sekretariat Majlis Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada Anwar sebagai pengerusi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadhillah Yusof sebagai setiausaha agung; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi sebagai ketua sekretariat dan ketua-ketua parti gabungan sebagai timbalan pengerusi.
Mesyuarat tersebut akan diadakan pada setiap bulan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi bagi persediaan PRN, Anwar hanya berkata jawatankuasa PRN akan segera berbincang mengenai perkara tersebut.