9 FEB: Kerajaan tidak ada halangan untuk rakyat mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi rakyat perlu sedar bahawa pengeluaran hanya menjejaskan simpanan mereka ketika sudah bersara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, simpanan KWSP adalah wang pencarum tetapi mereka yang mahu keluarkan KWSP
kena fikir apa pilihan ada sekiranya nanti tinggal RM10,000 atau RM5,000.
“Kalau pencen empat tahun lagi, apa hendak jadi (jika tiada simpanan), biarlah pengeluaran ini membantu pada masa akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil ‘Reformasi Pendidikan untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia’ di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya di Kuala Selangor hari ini.
Katanya, kerajaan perlu memperhalusi semua sudut sebelum meluluskan sebarang proses pengeluaran KWSP.
“Kita memikirkan bagaimana hendak mengurangkan beban semasa mereka bersara nanti,” katanya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan sedang berusaha mencari mekanisme terbaik membantu rakyat menangani kos sara hidup tanpa perlu membuat pengeluaran KWSP.
Ditanya tentang tumpuan dalam pembentangan semula Bajet 2023, Anwar berkata, beliau sebelum ini telah menjelaskan keutamaan Kerajaan Perpaduan ketika ini untuk menangani defisit.