14 FEB : Negara berisiko berdepan dengan kebanjiran pekerja yang tidak berkemahiran tinggi pada masa akan datang.
Ahli Parlimen BN Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ratusan ribu graduan yang dikeluarkan setiap tahun dari semua institusi pengajian tinggi di negara ini terpaksa bekerja di bawah kelayakan mereka.
“Ramai graduan mempunyai ijazah, diploma dan terpaksa bekerja dalam bidang atau jawatan yang tidak setimpal dengan kelayakan mereka.
“Ia sungguh membimbangkan saya apabila kita melihat bagaimana kehadapan nanti, dengan kedudukan ekonomi tidak menentu, kita akan berhadapan masalah yang agak kronik pada masa akan datang.
“Jumlah pekerja yang kita ada hari ini ‘semi-skill’ dan juga ‘low skill’ berjumlah 11.4 juta berbanding pekerja berkemahiran tinggi 4.4 juta orang,” katanya di Dewan Rakyat ketika mencadangkan usul menjunjung kasih titah Yang Dipertuan Agong, hari ini.
Dalam ucapannya, Johari berkata purata 300,000 graduan dikeluarkan setiap tahun sejak tahun 2018 hingga 2022 namun peluang pekerjaan yang disediakan sektor swasta sepanjang lima tahun lalu itu secara purata hanya sekitar 93,000 pekerjaan.
“Di sini, pentingnya perkembangan ekonomi untuk mengatasi soal pengangguran dalam negara kita. Jadi daripada beratus ribu graduan ini yang tidak dapat kerja dalam sektor swasta, ke mana mereka pergi?
“Statistik ‘under employment’ negara kita tahun 2017 hanya 1.3 juta tetapi apa yang berlaku apabila tiba tahun 2022, ia meningkat sebanyak 4.2% iaitu mencecah 1.89 juta orang.
“Bermakna banyak graduan kita yang mempunyai kelayakan bekerja di bawah kelulusan mereka kerana tidak ada kerja maka mereka terpaksa ambil kerja itu. Ini juga tidak terkecuali, pekerja-pekerja dalam sektor informal yang tidak bergaji secara bulanan iaitu berjumlah lebih 2 juta pekerja, yang membawa Grab, penghantar makanan Food Panda, menjaja di gerai-gerai, kedai kecil dan lain-lain lagi,” kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) itu.
Tambahnya, sekiranya isu ini tidak ditangani, ratusan ribu graduan yang keluar setiap tahun terpaksa masuk ke dalam sektor tersebut.
Oleh NUR EISYA