Dana bantuan kemanusiaan Malaysia ke Turkiye, Syria cecah RM50 juta
16 FEB: Jumlah dana bantuan kemanusiaan Malaysia bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria kini sudah mencapai RM50 juta
Memaklumkan perkara itu ketika menyampaikan penerangan di Dewan Rakyat, hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RM40 juta akan disumbangkan ke Turkiye, manakala RM10 juta kepada Syria.
Beliau berkata, antara penyumbang terbesar adalah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang menyumbang lima juta euro (RM 23.5 juta), Yayasan Albukhary sebanyak RM10 juta dan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) sebanyak RM 4.4 juta.
Selain itu, Brahim’s Dewina Group, dengan sumbangan pek makanan berjumlah RM3 juta, YTL Corporation Berhad (RM2 juta), Yayasan Sime Darby (RM 1.5 juta), Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) (sarung tangan perubatan berjumlah RM 1.2 juta), NGO India Muslim melalui Yayasan Pendidikan Islam (RM1.5 juta) dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (RM1 juta).
Tenaga Nasional Berhad (TNB), FGV Holdings Berhad, Berjaya Group dan IOI Corporation Berhad, masing-masing RM500,000; Ranhill Holdings Berhad (RM300,000) dan Microlink Solutions Berhad serta YHA Travel & Tours (M) Sdn. Bhd, masing-masing RM100,000.
“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ialah antara yang terawal menghulurkan AS$1 juta (RM4.4 juta).
“Kita juga tidak boleh remehkan keikhlasan anak-anak universiti kita daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), berjumlah RM2,000, yang dikumpul daripada pelajar dan staf,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri pada minggu lalu, meluluskan AS$1 juta untuk disumbangkan kepada Turkiye.
“Bagaimanapun, pada sidang Jemaah Menteri, Jumaat ini, saya akan usulkan pertimbangan untuk menambah sedikit lagi, berikutan keadaan yang sangat gawat di sana,” katanya.
Pada masa sama, Anwar juga mengumumkan elaun khas dan pingat khidmat khusus kepada semua petugas Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berkhidmat dalam misi menyelamat mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria.
Anwar berkata, ia adalah tanda penghargaan kerajaan kepada petugas negara, yang turut mendapat pujian daripada kerajaan Turkiye.
“Sebenarnya, pasukan SMART ini, tempoh khidmatnya adalah dua minggu tapi dalam perbicaraan saya bersama Presiden (Turkiye), Recep Tayyip Erdogan, beliau mohon kalau boleh diteruskan kerana terlalu banyak mayat yang masih tertimbus yang memerlukan usaha kita dan saya beri persetujuan untuk mereka meneruskan.
“Andai kata ada beberapa orang yang mempunyai masalah kesihatan, mereka diizinkan pulang segera,” katanya.
Semalam, Anwar berlepas ke Turkiye bagi menyatakan sokongan moral kepada Erdogan dan rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.