16 FEB: Kerajaan akan memastikan mangsa-mangsa banjir menerima bantuan sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memberi jaminan akan memantau pemberian wang ihsan supaya ia sampai tepat pada masanya.
“Janji kita, sebelum mereka (mangsa banjir di pusat pemindahan sementara) pulang ke rumah masing-masing, mereka harus dapat dahulu (wang ihsan),” katanya ketika menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) di Dewan Rakyat, hari ini.
Wakil Rakyat pembangkang itu bertanya mengenai status pemasangan pam di kawasan Parlimen Rantau Panjang bagi menyelesaikan masalah banjir dan status pemberian wang ihsan kepada mangsa banjir yang masih belum diterima.
Zahid yang juga menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, koordinasi telah dilakukan dengan pihak jawatankuasa bencana peringkat daerah.
“Mungkin mereka belum dapat lagi (peruntukan), kita akan pantau. Arahan ini telah kita lakukan kerana kita kenal pasti keluarga mana, kawasan mana dijangka banjir ataupun selalu banjir, maka peruntukan itu telah “diletakkan” di tempat berkenaan,” katanya.
Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyalurkan bantuan sebanyak RM68 juta, masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu.
Menjawab mengenai pemasangan pam berkuasa tinggi yang diluluskan peruntukannya bagi mengatasi banjir termenung di Kelantan, Zahid berkata ia dalam proses pembelian oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).