10 lagi TVET Tahfiz, TVET Junior pula diperkenalkan
22 FEB: Sepuluh lagi lokasi bakal dijadikan pusat Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz (TVET-Tahfiz) tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini negara sudah mempunyai tiga TVET-Tahfiz .
“Kita akan memperkenalkan dan menambahluaskan TVET Tahfiz kerana terdapat kira-kira 250,000 anak-anak di maahad tahfiz yang perlu dirungkaikan permasalahan masa depan mereka dari segi peluang kerjaya walaupun mereka hafal 30 juzuk.
“(Ahli Parlimen) Bagan Serai (Datuk Idris Ahmad) cadangkan supaya kolaborasi dilakukan dan diluaskan, perkara ini sedang dilakukan.
Setakat ini terdapat 3 TVET-Tahfiz dan pada tahun ini saya berhasrat mewujudkan sekurang-kurangnya 10 lagi,” katanya ketika sesi Menggulung Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah di Raja bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam jawapan sama, beliau menyarankan Idris agar mengadakan perbincangan dengannya bagi merealisasikan TVET-Tahfiz di kawasan Bagan Serai.
Menurut Idris, untuk wujudkan TVET-Tahfiz yang bukan dari kerajaan ini memerlukan peralatan yang agak mahal maka sebab itu beliau mengharapkan kalau boleh ada satu dasar membolehkan kolaborasi supaya mereka (pelajar) ini boleh ke pusat-pusat belajar seperti IKM, Giat Mara atau bengkel yang sudah ada MoU.
.
Selain TVET-Tahfiz, Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW berkata kementeriannya turut akan memperkenalkan TVET-Junior bagi pelajar sekolah rendah dan menengah di negara ini.
Jelasnya program itu akan diberi pendedahan kepada pelajar sekolah ketika cuti sekolah.
Malah KKDW turut melaksanakan TVET tekno-usahawan daripada beberapa TVET yang kursusnya ditawarkan mengikut kebolehpasaran dan permintaan guna tenaga.
OLeh NUR EISYA