28 FEB: Tidak ada kem, hanya ada kem UMNO Malaysia, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kenyataan itu sekali gus menepis dakwaan wujud kem dalam UMNO pada pemilihan parti kali ini
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata hanya ada satu kem dalam parti berkenaan, iaitu kem UMNO Malaysia.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke Mara Halal Industrial Park di Batu Muda, Sentul hari ini.
Ditanya dakwaan kononnya beliau menyokong calon atau kem tertentu, beliau menjawab beliau tidak menyifatkan apa-apa.
“Tidak ada sifatkan apa-apa. Kem (dalam UMNO) memang tidak ada. Tidak wujud pun,” katanya.
Menjawab soalan lain, beliau berkata Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan pencabarnya Tan Sri Shahrizat Abduk Jalil diberi peluang yang sama bagi jawatan Ketua Wanita UMNO.
“Saya pergi ke rumah kedua-duanya, rumah Shahrizat dan Noraini. Ini memperlihatkan saya adil dan memberi peluang kepada kedua-duanya,”
Ahmad Zahid berkata beliau akan mengetuai rombongan memperkenalkan calon-calon yang bertanding pelbagai jawatan dalam parti di peringkat nasional, pada hujung minggu ini.
Beliau turut memaklumkan seramai 330 calon disahkan bertanding pada pemilihan UMNO kali ini, terdiri daripada lapan calon bagi jawatan Naib Presiden, 93 (Majlis Tertinggi), dua (Ketua Wanita) dan enam (Ketua Puteri), manakala sebanyak 61 calon bertanding bagi jawatan exco Wanita, 113 (exco Pemuda) dan 42 (exco Puteri).
Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Feb hingga 18 Mac ini, dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan pada 1 hingga 26 Feb.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pusat pula, bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.