28 FEB: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penanda aras berhubung pengeluaran sijil halal kepada usahawan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Perkara itu katanya susulan perbincangan Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI) dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) baru-baru ini.
“Kita akan selaraskan mengikut penanda aras yang telah ditentukan dan kita akan lihat semua syarat-syarat yang telah dikeluarkan.
“Dalam mesyuarat halal akan datang saya akan minta tempoh tertentu supaya diberikan satu penanda aras, lulus atau tidak lulus atau perlu pembaikan perlu ada tempoh dan bukan terlalu lama. Ini akan ditentukan Jakim, Halal Development Corporation dan MITI,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bercakap kepada media selepas lawatsn kerja ke Mara Halal Industrial Park, di Batu Muda, Sentul hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan sukar mendapatkan sijil halal oleh sesetengah usahawan.
Sementara itu, dalam ucapannya beliau berkata, peluang bagi pembangunan industri halal sentiasa terbuka luas berikutan perdagangan halal di pasaran global diunjurkan mencecah RM22.34 trilion hingga 2030.
“Nilai pasaran halal domestik Malaysia pula diunjurkan meningkat kepada RM400 bilion, sekali gus menyumbang 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030,” katanya.
Pada majlis itu Ahmad Zahid melancarkan penjenamaan semula Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR) kepada Mara Halal Industrial Park.
Beliau berkata, KIMAR merupakan salah satu penyumbang penting kepada pembangunan industri halal negara.
Katanya, ekosistem keusahawanan halal merangkumi kemudahan latihan untuk membangunkan modal insan, pembangunan perniagaan serta menyediakan kemudahan dalam bentuk fasiliti sokongan yang diperlukan oleh sesebuah perniagaan.