1 MAC: Kor Jurutera Di-Raja Angkatan Tentera Darat akan membina Jambatan Bailey (Bailey Bridge) bagi menghubungkan laluan utama jalan Felda Selancar, Rompin yang terputus akibat banjir hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah
mengarahkan Ketua Pengarah NADMA bagi menyediakan peruntukan segera ekoran kejadian tersebut.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat menjangkakan kerja pembinaan jambatan sementara itu siap
dalam tempoh sekitar 48 hingga 72 jam.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Ahmad Zahid berkata, beliau
bersama Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus ke Rompin bagi meninjau keadaan jalan yang terputus dan melihat keadaan banjir di sekitar kawasan itu sebaik dimaklum pegawainya mengenai kejadian tersebut.
Tambahnya, ribuan penduduk terjejas akibat terputus hubungan di Felda Selancar, Rompin itu yang merupakan jalan utama menghubungkan penduduk sekitar ke serata Negeri Pahang dan Johor.
Menurut Ahmad Zahid pembinaan Jambatan Bailey adalah langkah sementara bagi memastikan laluan ini dapat digunakan semula sebelum jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya nanti.
“Oleh kerana hujan berterusan selama beberapa hari ini, saya amat berharap untuk penduduk yang berada di kawasan-kawasan yang terdedah banjir untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa,” ujarnya.