1 MAC: Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh dan lebih 85 cedera apabila kereta api penumpang yang membawa lebih 350 orang bertembung dengan sebuah kereta api barang semalam di Tempi, berhampiran bandar Larissa, tengah Greece, Athens.
Perkhidmatan Bomba Greece berkata, usaha pemulihan sedang dijalankan dan angka kematian dijangka meningkat.
Sehingga kini, pasukan penyelamat dilaporkan menggeledah gerabak demi gerabak untuk mencari mangsa-mangsa yang terselamat.
Kereta api itu dikatakan bergerak dari ibu kota Athens ke Thessaloniki, bandar kedua terbesar di Greece yang terkenal dengan perayaan dan budaya yang meriah.
Dalam taklimat televisyen, jurucakap Perkhidmatan Bomba Greek, Vassilis Varthakogiannis berkata, kereta api penumpang itu membawa 350 orang dan 194 daripadanya sudah dibawa dengan selamat ke Thessaloniki.
“Sekurang-kurangnya 150 anggota bomba dengan 17 kenderaan dan 40 ambulans terlibat dalam operasi menyelamat,” tambahnya.
Syarikat kereta api Greece, Hellenic Train dalam kenyataan akhbar berkata, terdapat perlanggaran langsung antara dua kereta api iaitu kereta api barang dan kereta api IC 62 yang berlepas dari Athens ke Thessaloniki.
Pihak berkuasa berkata, pihaknya masih tidak jelas punca perlanggaran itu. Foto Agensi