2 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu peruntukan yang mencukupi disalurkan kepada mangsa banjir di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka, yang sehingga kini telah menjejaskan 29,000 orang.
Malah beliau juga mengadakan perbincangan dengan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, tentang keadaan terkini bencana banjir dan jenis bantuan yang akan diberikan, sebelum berlepas pulang dari Filipina pada Khamis.
“Mengenai banjir di Johor dan Pahang, saya telah diberikan maklumat semasa (tentang bencana).
“Saya telah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) supaya peruntukan yang cukup untuk mangsa-mangsa banjir,” kata beliau kepada media Malaysia pada akhir lawatan dua harinya ke Filipina hari ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri bertemu dengan kira-kira 100 orang rakyat Malaysia di Rumah Malaysia di ibu negara Filipina itu.
Anwar juga mengarahkan supaya kerja-kerja pembinaan jambatan di Felda Selancar di Rompin yang laluan utama ke kawasan itu runtuh akibat banjir dan hakisan yang teruk dapat dilakukan dengan secepat mungkin.
Mengenai lawatan selama dua hari ke Filipina bermula semalam, Perdana Menteri berkata, ia menggambarkan kepentingan hubungan dua hala antara negara berjiran.
Malaysia dan Filipina, kata beliau, harus mempertingkatkan kerjasama dua hala melibatkan pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan serta pendidikan dan latihan yang suatu ketika dahulu amat aktif.