6 MAC: Usul untuk mengosongkan kerusi terhadap empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bersidang hari ini.
Usul tersebut dikemukakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman dan disokong oleh Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) mendapat sokongan majoriti ahli dewan.
Susulan daripada itu, ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin diarahkan keluar dari Dewan oleh Speaker DUN Pulau Pinang, Daruk Law Choo Kiang.
Secara keseluruhan, seramai 12 ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu.
Persidangan Dewan yang sepatutnya bermula dengan sesi soalan lisan namun didahulukan dengan usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi DUN Pulau Pinang kerana menurut Choo Kiang, Dewan mengambil kira kepentingan usul tersebut yang berkaitan dengan Perlembagaan Pulau Pinang selain keputusan mahkamah berhubung enakmen anti lompat parti yang dibuat pada 2 Mac lalu.
Ahmad Zakiyuddin ketika membentangkan usul tersebut berkata, Perkara 14A Perlembagaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyatakan bahawa seseorang ADUN perlu mengosongkan kerusinya apabila melepaskan, berhenti atau dilucutkan keahlian daripada sesebuah parti politik atau menyertai mana-mana parti politik lain.