6 MAC: Kementerian Kewangan memberikan jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun ini, meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia berdasarkan takrifan kegawatan atau kemelesetan ekonomi iaitu secara teknikalnya, apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut.
Beliau berkata,
berdasarkan kepada prestasi pertumbuhan ekonomi pada 2022, pada tahun ini, kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sekitar 4.5 peratus.
“Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia turut mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2023 sebagai 4.4 peratus dan 4 peratus.
“Jangkaan ini adalah selari dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global yang diunjur lebih perlahan pada tahun ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang bertanyakan pelan kerajaan dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini.
Ahli Parlimen Pontian itu menambah, kerajaan akan terus mengutamakan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan yang saksama untuk rakyat.