Wanita UMNO Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem kontroversi Mentega Terbang yang jelas bukan sahaja mempunyai unsur-unsur yang tidak wajar untuk tatapan umum masyarakat di negara ini, tetapi telah menghina dan memperlekehkan kesucian agama Islam.
Tayangan cerita seumpama ini seolah-olah cubaan untuk mempromosikan budaya “TAK APA” dalam kalangan masyarakat majmuk khususnya umat Islam.
Impak penyebaran filem ini amat besar kerana ia boleh memesongkan akidah dan mengelirukan umat Islam terutama anak muda. Tayangan filem seperti ini tidak boleh di normalisasikan di negara ini.
Justeru, Wanita UMNO menggesa Kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat dalam pembikinan filem kontroversi Mentega Terbang ini.
Wanita UMNO juga menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji, memperhalusi dan menambahbaik garis panduan sedia ada serta bentuk-bentuk penguatkuasaan undang-undang supaya perkara ini tidak berulang pada masa yang akan dating
Dalam kita hendak menggalakkan industri kreatif di negara ini, perlu ada satu mekanisme yang jelas sebelum mana-mana filem ditayangkan bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini.
Dr. Noraini Ahmad
Ketua Wanita UMNO Malaysia