9 MAC: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka berdepan enam pertuduhan membabitkan empat salah guna kuasa dan dua kesalahan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen di sini esok.
Pendakwaan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).
Sumber SPRM ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara itu.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dan Ahli Parlimen Pagoh dipanggil memberi kenyataan oleh SPRM hari ini.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan Muhyiddin akan didakwa di mahkamah pagi esok.
Pendakwaan dipercayai berkaitan kes salah guna dana awam program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa
Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.
Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri itu antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.
Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.
Sehari kemudian, bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.
Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.