MRSM berbayar tidak guna peruntukan kerajaan
23 MAC: Penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar tidak akan menggunakan peruntukan kerajaan atau dibina di atas tanah rakyat miskin, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi..
Beliau juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), berkata kerajaan akan menggunakan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk pembiayaan MRSM tersebut.
Katanya, permintaan untuk memasuki MRSM berada di tahap lebih 300 peratus daripada kemampuan dan hal itu perlu ditangani serta dilakukan dengan kaedah di luar kotak.
“Kerajaan juga sudah melakukan kajian kebolehlaksanaan dan melihat ramai pelajar yang berkelayakan untuk memasuki MRSM, tetapi tidak layak dari segi pendapatan ibu bapa.
“Tanpa berkompromi dari segi kualiti dan kelulusan minimum akademik, kita akan membuka ruang seluas-luasnya untuk anak golongan T20, M40 dan alumni memasuki MRSM ,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq (PH-Muar) berhubung proses dan sumber pendanaan untuk membina MRSM berbayar.
Ahmad Zahid berkata, selain memastikan pembinaan sekolah MRSM berbayar tidak didirikan di atas tanah rakyat miskin, akan ada kerjasama pintar dengan beberapa pihak lain bagi tujuan itu
“Saya juga akan berjumpa dengan pengerusi muafakat dan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) MRSM masing-masing supaya pelajar B40 tidak terbeban dengan kos tersembunyi,” katanya.