27 MAC: Sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS) yang sedang dirangka kerajaan dijangka siap pada separuh kedua tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan. berkata, dalam masa sama kerajaan turut mengkaji kesan ke atas kos kenaikan harga barang jika SKDS dilaksanakan kelak.
“Kerajaan akan memberi pendekatan berbeza kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan sektor ini tidak terjejas dengan pelaksanaan sistem tersebut.
“Namun, semuanya masih dalam kajian dan sistem ini hanya akan disiapkan pada separuh kedua tahun ini dan tarikh pelaksanaannya masih belum ditetapkan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai rasional pelaksanaan dan langkah mitigasi untuk membantu sektor terkesan.
Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan sedang meneroka langkah menambah baik pemberian subsidi secara lebih bersasar dalam mengurangkan ketirisan dan mengoptimumkan perbelanjaan kepada program dan projek yang memberi nilai tambah kepada rakyat dan ekonomi negara.
Katanya, ini bertujuan mengimbangi tanggungan subsidi dengan keperluan untuk memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai tarikh pelaksanaan subsidi bersasar seperti diumumkan perdana menteri pada 27 Nov 2022 serta jaminan kerajaan bahawa harga barangan tidak akan meningkat apabila ia dilaksanakan kelak.
Ahmad berkata, satu pasukan khas diwujudkan bawah Kementerian Kewangan untuk bekerjasama dengan kementerian, jabatan dan agensi terlibat bagi meneliti keperluan dan kebolehlaksanaan subsidi secara bersasar di samping mengenal pasti kaedah berkesan boleh menjimatkan masa serta memberi implikasi kewangan paling minimum kepada kerajaan.
Ini termasuk mengumpul data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, katanya.