28 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji semula cadangan untuk menubuhkan badan bebas bagi menyiasat aduan atau tuduhan membabitkan pihak penguatkuasaan.
Menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (PH-Damansara), Anwar menyentuh isu Akta Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dipertikaikan oleh pihak polis, di mana akta itu seolah-olah hanya mensasarkan kepada mereka.
“Cuma saya nak tekankan di sini, bila timbul isu IPCMC tu, yang dipertikaikan oleh pihak polis kenapa ditujukan khusus kepada mereka, padahal permasalahan itu harus melibatkan semua agensi penguatkuasaan.
“Jadi pada pendapat saya, itu satu cadangan lebih baik iaitu satu badan bebas yang boleh mengambil tindakan menyiasat terhadap semua aduan atau tuduhan terhadap badan penguatkuasaan.
“Ini termasuk saya tegaskan semula, polis, SPRM, kastam, imigresen dan lain-lain yang berkaitan,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan kepada perdana menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu ketika menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yussof (PN Nasional-Rantau Panjang) yang mahu tahu sama ada terdapat siasatan rasuah terhadap blok kerajaan, Anwar mengesahkan ada Ahli Parlimen blok kerajaan turut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya tak tahu khusus. Tetapi yang saya tahu ada siasatan, ada melibatkan pembangkang dan blok kerajaan. Saya tak tahu jawatannya.
“Saya hanya tanya kepada pihak penguatkuasaan. Memang ada siasatan.
“Kemudian sama ada pendakwaan dibuat atau tidak terserah kepada badan penguatkuasaan iaitu Jabatan Peguam Negara,” katanya.