29 MAC: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.
Katanya, Sulaiman telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu pada pertemuan di pejabatnya di Parlimen, pada Selasa.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam untuk mempersembahkan nama calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Menteri menggantikan Sulaiman.
Ahmad Zahid bercakap pada sidang media di Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al Falah, Kampung Lebu di sini pada Rabu.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memaklumkan bila beliau akan menghadap Mohd Ali mahupun jumlah nama individu yang akan dikemukakan dalam senarai berkenaan.