30 MAC: Datuk Seri Sulaiman Md Ali hari ini menegaskan bahawa tiada desakan atau paksaan daripada mana-mana pihak untuk beliau meletakkan jawatan Ketua Menteri Melaka..
Sebaliknya, kata beliau, langkah itu hanya mengikut desakan hati yang selama ini ‘meronta’ supaya jawatan yang digalas itu dapat diserahkan segera kepada orang lain yang lebih berkemampuan.
Katanya, mungkin sudah sampai masanya untuk beliau melepaskan jawatan Ketua Menteri, sekali gus dapat merealisasikan hasrat untuk memegang jawatan itu hanya sepenggal.
“Apa nak komen lagi, kenyataan sudah dikeluarkan kerajaan negeri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Apa yang (mereka) cakap, itulah dia (yang sebenarnya).
“(Tiada) desakan, (ini) desakan hati saya dan datangnya daripada naluri. Sudah penatlah (kerja), berilah orang lain peluang pula, itu saja,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Kuala Linggi, di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.
Sulaiman yang juga ADUN Lendu turut mengakui sudah beberapa kali menyatakan hasrat melepaskan jawatan itu kepada Ahmad Zahid sebelum ini, namun tidak ditunaikan.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan penggantinya kelak dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik dan sempurna berbanding sekarang.