31 MAC: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT), hari ini.
Terdahulu, pengumuman Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Zaidi Johari yang memaklumkan pelantikan itu berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka.
Ab Rauf menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang meletak jawatan semalam selepas berkhidmat buat kali kedua sebagai ketua menteri dari November 2021.
Rauf sebelum ini adalah exco pelaburan, perindustrian, pembangunan koperasi dan usahawan negeri.
Beliau juga speaker DUN Melaka dari Mei 2020 hingga November 2021, ketika Sulaiman mula berkhidmat sebagai ketua menteri.
Beliau kemudiannya bertanding di kerusi negeri buat julung kali pada PRN 2021 dan memenangi DUN Tanjung Bidara.