3 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan luar biasa lawatan rasmi ke China disebabkan usaha berterusan dan semangat berpasukan rentas kementerian yang dilaksanakan dengan baik.
Perdana Menteri berkata, kejayaan itu secara tidak langsung memberi keyakinan baharu kepada pelabur bahawa politik yang stabil serta ketetapan lebih jelas selain kaedah baharu yang lebih cekap dan stabil.
Katanya, kejayaan itu bukan kerana seorang Perdana Menteri tetapi (sebagai) pasukan, pimpinan dan penjawat awam, menyusun acara, mendapatkan hampir 50 syarikat gergasi terbesar ini untuk boleh hadir.
“Ini kerana usaha dibuat bukan sahaja oleh Kementerian Luar tetapi juga kementerian terkait, berbincang dan menemui mereka (China), sebelum ada pertemuan itu,” katanya pada Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.
Pada 1 April lalu, Anwar berkata, Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.
Ia hasil daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China, di Beijing.
Dalam pada itu,Perdana Menteri mengakui masih ada pihak yang meminta komisen ketika berurusan dengan kerajaan termasukdengan pejabatnya.
Sehubungan itu, Anwar berharap agar semua pihak bekerjasama untuk membanteras budaya tersebut.
“Kita tidak boleh nafikan masih ada. Saya pun dengar kadang-kadang dia kata orang minta komisen dari pejabat saya, pejabat menteri dan pegawai,” katanya.
Menurutnya, kaedah cekap dan bersih perlu ada dalam setiap urusan bagi menarik serta menambah keyakinan pelabur terhadap negara ini.
“Untuk membersihkan budaya lama itu memerlukan masa.Jadi saya minta kerjasama saudara saudari, kerana apabila imej itu baik ia (menjadi) mudah sekali,” katanya.