7 APRIL: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara bersetuju menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembah permohonan memberi pertimbangan pengampunan diraja kepada bekas presiden parti dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata MKT juga akan mempersembahkan warkah rayuan kepada baginda beserta memorandum ditandatangani seluruh pimpinan UMNO daripada 191 bahagiannya.
Katanya, mesyuarat MKT hari ini mengambil maklum perasaan dukacita dan keresahan ahli-ahli UMNO di akar umbi terhadap keputusan yang didakwa “tidak adil” seiring kenyataan penghakiman dizahirkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli.
Asyraf berkata, Rahman yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berpandangan Najib tidak mendapat perbicaraan adil dan wajar dibebas dan dilepaskan.
“Setelah diperincikan, MKT merafak sembah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong dengan kerendahan diri memohon ihsan untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat Dato’ Sri Najib sebagai mana diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong beserta dengan memorandum ditandatangani seluruh kepimpinan Umno daripada 191 bahagian,” katanya dalam kenyataan selesai mesyuarat tersebut.
Asyraf berkata, mesyuarat MKT juga menetapkan Perhimpunan Agung UMNO tahun ini diadakan, pada 7 hingga 10 Jun.