10 APRIL: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di Mahkamah Sesyen, di Kangari, hari ini, terhadap lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017.
Tertuduh berusia 64 tahun itu hanya mengangguk faham dan minta bicara selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Dalam pertuduhan itu, Azlan didapati dengan niat menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya sebagai Menteri Besar Perlis, bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 sedangkan tidak ada sebarang perjalanan tersebut oleh beliau.
Ia membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom dan invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Beliau didakwa membuat pernyataan palsu mengenai butiran membabitkan kos bagi tiket penerbangan hotel penginapan dan pengangkutan ke London dalam beberapa tarikh pada 20 Disember 2013 hingga 2 Januari 2014, 17 hingga 26 Disember 2014, 18 hingga 29 Disember 2015, 23 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017 serta 23 hingga 30 November 2017.
Azlan didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Persiaran Wawasan, Kangar pada Disember 2013, 20 November dan 18 Disember 2014, 30 November dan 21 Disember 2015, 8 November dan 29 Disember 2016 serta 9 Oktober dan 14 Disember 2017.
Beliau didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran dokumen yang palsu atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.