10 APRIL: Lembaga Disiplin UMNO memanggil Ketua Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus berhubung dakwaan sogokan kepada perwakilanketika pemilihan parti, 18 Mac lalu.
Surat pemakluman untuk memanggil Jamal hadir itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun bertarikh 7 April lalu.
Dalam surat itu menyatakan Jamal dipanggil kerana didakwa melanggar peruntukan Perlembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO yang boleh dihukum di bawah Fasal 20.9.
“Bahawa Datuk Seri pada 17 Mac 2023, jam lebih kurang 6.15 petang sudah melakukan perbuatan rasuah dan sogokan politik dengan memberikan wang sebanyak RM1,000 kepada penama (12 perwakilan) dari Cawangan UMNO Parit Sungai Haji Dorani, Parit 3 Jalan Lama, Sungai Limau, Simpang Tiga Loji dan Pekan Pasir Panjang.
Yang menjadi perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar melalui ejen Datuk Seri untuk memilih Datuk Seri sebagai ketua bahagian Sungai Besar pada pemilihan parti bagi sesi 2023-2026,” menurut kandungan surat berkenaan.
UMNO selesai mengadakan pemilihan partinya pada 18 Mac lalu.
Jamal mengekalkan penguasaannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar pada pemilihan UMNO sesi 2023-2026 selepas mengalahkan pencabarnya yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.